GURINDAM 12 FASAL

TUGASAN INDIVIDU
ANALISIS GURINDAM 12 (RAJA ALI HAJI)

1.0  Pengenalan
Karya agung dalam konteks dunia Melayu didefinisikan sebagai karya yang nilainya tahan zaman, iaitu karya yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu. Nilai yang dimaksudkan merangkumi nilai seni, budaya, ilmu, pemikiran yang terdapat di dalamnya, nilai teknik kepengarangan yang digunakan oleh pengkarya dan beberapa nilai lagi. Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. (2014:2), karya agung ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya ulung pula ditafsirkan sebagai karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya serta sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang kehidupannya. Justeru, dapat disimpulkan bahawa karya agung ialah karya yang dianggap oleh pelbagai institusi dan badan berautoriti sebagai karya yang mencerminkan keagungan dan keistimewaan sesuatu bangsa melalui amalan cara hidup, adat istiadat, falsafah, nilai ilmu dan sebagainya. Dengan kata lain, karya agung merupakan karya-karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah, budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan para pembaca.

2.0 Ciri-Ciri Karya Agung
Sesebuah karya kesusasteraan diangkat sebagai karya agung berdasarkan ciri-ciri yang ada pada karya berkenaan. Antara ciri-ciri karya agung ialah pemikiran dan falsafah dalam karya agung, kepengarangan karya agung dan nilai estetika yang terkandung di dalamnya. Gurindam dua belas karya Raja Ali Haji diangkat menjadi karya agung sesuai dengan ciri-ciri yang perlu ada dalam sesebuah karya agung.

3.0 Falsafah dan Pemikiran dalam Gurindam Dua Belas
Perkataan falsafah berasal daripada perkataan Yunani, iaitu Philosophia. ‘Philo’ bermaksud cinta manakala ‘sophia’ ialah kebijaksanaan. Oleh itu, falsafah bermaksud cinta akan kebijaksanaan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:406), falsafah ditakrifkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain. Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012:7), falsafah diertikan sebagai ilmu yang mengkaji dan meneliti objek yang abstrak dan logikal yang mempunyai hakikat benda-benda dan kejadian di alam semesta ini.

Menurut Mana Sikana dalam Mohd Rashid Md Idris et. al(2014:17), falsafah ialah suatu kesenian berfikir, yang bernas, waras dan mendalam. Plato mengatakan bahawa falsafah ialah pengetahuan tentang segala yang ada manakala ilmuwan Islam pula mempunyai pandangan yang sedikit berbeza iaitu falsafah mempunyai kaitan secara langsung dengan aspek ketauhidan. Berdasarkan pendapat beberapa tokoh dan daripada beberapa sumber, dapat dirumuskan bahawa falsafah ialah pengetahuan yang mendalam mengenai diri manusia, alam semesta dan Pencipta. Ilmu falsafah juga dapat dicapai berdasarkan kemampuan akal manusia untuk menyelami hakikat kebenaran yang hakiki.

Pemikiran  pula ialah idea yang telah dimatangkan dan digarap oleh pengarang dala sesebuah karya. Setiap pengarang mempunyai teknik atau cara tersendiri dalam memilih bahan untuk diterjemahkan dalam sesebuah karya. Terdapat beberapa falsafah dan pemikiran yang ingin diketengahkan oleh Raja Ali Haji dalam Gurindam Dua Belas.

3.1 Keagamaan
Pemikiran utama Gurindam Dua Belas ialah tentang perlunya agama dalam kehidupan setiap manusia. Fasal-fasal dalam Gurindam Dua Belas banyak menceritakan tentang agama Islam seperti mengenal Allah, akhirat, solat dan sebagainya. Pengarang mengajak para pembaca supaya mengenal Allah yang merupakan Pencipta sekalian alam. Hal ini dapat dilihat dalam fasal 1 iaitu:

          Barang siapa tiada memegang agama
          Sekali-kali tiada boleh dibilang agama

Maksud yang terkandung dalam  fasal 1 ialah setiap manusia harus memiliki agama kerana agama sangat penting dalam kehidupan manusia. Orang yang tidak memiliki agama dianggap orang yang tiada arah dalam hidupnya. Pengarang menceritakan berkenaan agama pada fasal permulaan kerana untuk menunjukkan peri pentingnya agama dalam kehidupan kita di muka bumi ini. Pada zaman dahulu, aspek agama dalam kehidupan tidak dititikberatkan kerana masih berada pada awal kemasukan Islam malah kepercayaan animisme masih lagi diamalkan. Oleh itu, pengarang ingin mengajak manusia mengenal Allah yang Esa. Selain itu, contoh pemikiran yang menunjukkan pengarang mengajak pembaca mengenal agama ialah dalam fasal kedua iaitu:

          Barang siapa meninggalkan sembahyang
          Seperti rumah tidak bertiang

3.2 Mentaati dan Menghormati Ibu Bapa.
Dalam fasal kesepuluh, pengarang menceritakan tentang perlunya anak-anak mentaati dan menghormati ibu bapa. Ibu bapa merupakan insan yang banyak berjasa kepada anak-anak. Sesungguhnya Allah S.W.T telah berpesan supaya berlaku baik kepada kedua-dua orang tua. Seperti mana firman Allah di dalam surah al-Isra ayat 23 yang bermaksud:

      “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya”

Begitu juga pengarang yang ingin mengajak pembaca agar mentaati ibu bapa sebagai tanda terima kasih atas pengorbanan ibu bapa yang membesarkan kita dan menjaga kita sehingga dewasa. Contohnya dapat dilihat dalam Gurindam Dua Belas iaitu,

          Dengan bapak jangan derhaka
          Supaya Allah tidak murka.
          Dengan ibu hendaklah hormat.
          Supaya badan dapat selamat.

3.3 Menahan Diri daripada Melakukan Perkara yang Mungkar
Contohnya dapat dilihat dalam fasal ketiga iaitu pengarang menyeru agar pembaca menjaga mata dan telinga. Mata harus dipergunakan sebaik-baiknya dan jangan sampai kita melihat perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T atau dengan kata lain ialah menjaga pandangan. Telinga pula mestilah dijaga dengan seeloknya dan jauhkan dari segala bentuk hasutan serta perkara yang memudaratkan. Contohnya:

          Apabila terpelihara mata
          Sedikitlah cita-cita
          Apabila terpelihara kuping
          Khabar yang jahat tiada damping.

3.4 Memberi Nasihat
Pengarang memberi nasihat kepada pembaca agar tidak percaya dengan orang yang culas. Pengarang turut menasihati pembaca agar tidak terlalu berprasangka buruk terhadap orang lain. Contohnya dalam fasal kelapan, pengarang mengatakan bahawa orang yang ingkar dan aniaya terhadap dirinya sendiri tidak boleh dipercayai dan orang seperti ini mestilah dijauhi. Pengarang juga ada mengatakan bahawa jangan terlalu percaya terhadap orang yang suka menganiayai orang lain.

          Barang siapa khianat akan dirinya
          Apalagi kepada lainnya
          Kepada dirinya ia aniaya
          Orang itu jangan engkau percaya

3.5 Kebijaksanaan
Kebijaksanaan perlu untuk membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk. Kebijaksanaan amat diperlukan dalam memilih kawan, guru dan isteri. Seseorang perlulah menggunakan kebijaksanaan dalam membuat sesuatu pilihan. Contohnya dapat dilihat dalam fasal keenam.

          Cahari olehmu akan sahabat
          Yang boleh dijadikan sahabat
          Cahari olehmu akan guru
          Yang boleh tahukan tiap sesuatu
          Cahari olehmu akan isteri
          Yang boleh menyerahkan diri

3.6 Kepentingan Pendidikan
Pengarang mengetengahkan kepentingan pendidikan dalam kehidupan. Pendidikan boleh mengubah kehidupan seseorang ke arah yang lebih baik. Pendidikan juga membantu kita membezakan perkara yang hak dan batil. Pengarang mengetengahkan pentingnya pendidikan dalam gurindam dua belas yang membawa maksud apabila anak tidak mendapat pendidikan yang sempurna, memungkinkan anak-anak melakukan perkara yang negatif serta mendatangkan kesan yang buruk kepada ibu bapa pada masa akan datang.

          Jika anak tidak terlatih
          Jika besar bapanya letih

3.7 Kesabaran
Kesabaran adalah kemampuan untuk menahan diri dalam menghadapi situasi-situasi yang sulit. sabar mengandungi ketabahan, ketahanan dalam menghadapi sebarang tentangan dan ancaman yang akan berlaku. Kita mestilah sentiasa sabar dalam menerima sebarang berita sama ada baik atau buruk. Contoh rangkap yang menunjukkan perlunya kesabaran dalam menghadapi sebarang berita ialah:

          Apabila mendengar akan khabar
          Menerimanya itu hendaklah sabar

4.0  Kepengarangan dan Estetika
Keagungan karya tradisional Melayu turut memperlihatkan kebijaksanaan pengarang dalam mengolah cerita untuk dipersembahkan kepada para pembaca. Menurut Mohd Rashid Md Idris (2014:96), kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang dalam berkarya. Kebiasaannya kepengarangan dapat menerangkan kekuatan, keistimewaan dan kelemahan seseorang pengarang dalam menghasilkan karya. Kepengarangan juga dianalisis daripada aspek keperibadian yang perlu dicapai oleh pengarang. Keperibadian merujuk kepada kemuncak kejayaan pengarang. Pengarang yang bijaksana dapat menggunakan mata penanya bagi menghidupkan dunia realiti, fantasi, magis dan sebagainya.

Estetik pula  ialah nilai keindahan yang terdapat dalam sesebuah karya. Pendekatan estetik ialah menilai teks sastera dengan merujuk kepada aspek keindahan dan kekuatannya. Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. (2014:97), estetik ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada perkara yang bernilai dan bermanfaat. Keindahan berkait rapat dengan kesan daripada pengalaman, perasaan, pemikiran, imaginasi dan wawasan. Keindahan yang ditonjolkan dapat meninggalkan kesan kepada pembaca dan secara tidak langsung dapat menarik pembaca untuk terus membaca. Keindahan terpancar daripada bahasa yang digunakan oleh pengarang iaitu cara pengarang mengolah bahasa menjadi sesuatu yang indah untuk dibaca oleh pembaca. Raja Ali Haji merupakan pengarang yang bijak dalam penggunaan bahasa bagi menarik perhatian pembaca.

4.1 Biografi Raja Ali Haji
Gurindam dua belas karya Raja Ali haji merupakan sebuah karya agak berbeza dari aspek kepengarangannya. Raja Ali Haji menghasilkan gurindam dua belas dengan menceritakan pengalamannya sendiri. Setiap bait-bait gurindam dua belas terpapar kisah beliau sendiri dan perkara tersebut diterjemahkan dalam bentuk karya untuk dipaparkan kepada para pembaca. Raja Ali Haji menceritakan setiap  pengalaman, bayangan, ingatan, kenangan dan segala hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan beliau di dalam Gurindam Dua Belas.

Nama sebenar Raja Ali Haji ialah Raja Ali Haji bin Raja Ahmad Haji. Beliau dilahirkan di Pulau Penyengat, Kepulauan Riau pada tahun 1809. Beliau mempunyai pengetahuan yang luas tentang agama Islam dan ilmu pentadbiran. Pengetahuan agama yang ada dalam diri beliau dipelajari daripada ulamak-ulamak tidak kira di dalam negara mahupun di luar negara. Beliau juga merupakan mualim dan mengajar bahasa Arab. Beliau juga terdidik dengan ilmu bidang lain seperti menghasilkan karya yang berkaitan keagamaan, kesusasteraan, perundangan dan sebagainya.

4.2 Unsur Islam
Pengarang turut mengetengahkan unsur-unsur Islam di dalam gurindam dua belas. Unsur Islam ini ditunjukkan melalui perkataan-perkataan yang digunakan dalam fasal yang terdapat dalam gurindam tersebut. Antara perkataan yang menunjukkan terdapatnya unsur Islam ialah:

Fasal pertama:          
Barang siapa mengenal yang empat,
Maka ia itulah orang ma’rifat.
Barang siapa mengenal Allah,
Suruh dan tegahlah tiada ia mengalah.

4.3 Pengaruh Bahasa Arab
Antara pengaruh bahasa Arab yang digunakan dalam Gurindam Dua Belas ialah ma’rifat, zalim, haji, zakat dan banyak lagi. Perkataan ini dapat dilihat dalam fasal pertama,  fasal kedua dan fasa keempat.

Fasal pertama : 
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang makrifat.

Fasal kedua  :  
Barang siapa meninggalkan zakat,
tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
Tiadalah ia menyempurnakan janji.

Fasa keempat :
Hati kerajaan di dalam tubuh,
Jikalau zalim segala anggota pun roboh.

4.4 Pengaruh Bahasa Sanskrit
Antara pengaruh bahasa Sanskrit ialah duka, raja dan banyak lagi. Perkataan pinjaman bahasa Sanskrit dapat dilihat dalam fasal ketujuh dan fasal kedua belas.

Fasal ketujuh :
Apabila banyak berlebih-lebihan suka
Itulah tanda hampir duka

Fasal kesepuluh :
Betul hati kepada raja,
Tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh inayat.      
      
4.5 Repetisi
Repetisi bermaksud perkataan yang diulang-ulang dalam baris. Penggunaan repetisi dapat dilihat dalam fasal kedua.

          Barang siapa mengenal yang tersebut,
          Tahulah ia makna takut,
          Barang siapa meninggalkan sembahyang
          Seperti rumah tidak bertiang,
          Barang siapa meninggalkan puasa
          Tidaklah mendapat dua temasya.

4.6 Anafora
Anafora ditakrifkan sebagai perulangan kata di awal baris. Penggunaan anafora dapat dilihat dalam fasal kelapan, iaitu perulangan perkataan keaiban.

          Keaiban orang jangan dibuka,
          Keaiban diri hendaklah sangka.

4.7 Sinkof
Sinkof ialah penggunaan perkataan singkatan. Contoh sinkof ialah tak, nak, mu, kau dan banyak lagi. Contoh penggunaan sinkof yang terdapat dalam gurindam ini ialah tak dan mu.

Fasal kesembilan:
Syaitan tak suka membuat sahabat

Fasal kedua belas:
tanda rahmat atas dirimu

4.8 Disfemisme
Disfemisme ialah penggunaan kata-kata kasar dalam sesebuah karya. Contohnya ialah:

          Ingatkan dirinya mati

4.9 Kata Ganda
Menurut Ahmad Khair et. al (2012:34) kata ganda dihasilkan dengan mengulang atau menggandakan kata dasar sama ada kata ganda tersebut diulang secara keseluruhan atau pada bahagian-bahagian tertentu, dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan. Bentuk kata yang diulang itu dikenal sebagai dasar, manakala bentuk ulangan itu disebut sebagai kata gandaan. Contohnya:

          Laki-laki, hamba-hamba

4.10 Inversi
Inversi dapat ditakrifkan sebagai keterbalikan rangkai kata sesuatu perkataan. Inversi juga boleh dimaksudkan perkataan yang menyalahi hukum D-M. Contohnya ialah:
     Lekaslah orang sekalian gusar sepatutnya sekalian orang lekaslah gusar
     Tidak boleh orang berbuat onar sepatutnya orang tidak boleh berbuat onar

4.11 Asonansi
Asonansi ialah perulangan huruf vokal dalam deretan kata. Penggunaan asonansi menimbulkan kesan keindahan dalam puisi serta menarik minat pembaca untuk   membaca. Contohnya ialah:

       Apabila pekerjaan yang amat benar (perulangan vokal a)
       Kebaikan diri diamkan (perulangan vokal i)

4.12 Aliterasi
Aliterasi bermaksud perulangan huruf konsonan dalam deretan kata. Contohnya ialah:
     Barang siapa mengenal dunia (perulangan konsonan n)
     Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan(perulangan konsonan g)

KESMIPULAN

Kesimpulannya, gurindam dua belas merupakan karya yang dianggap agung kerana meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan hidup dan sebagainya kepada para pembaca khususnya. Sesuatu karya menjadi tonggak keintelektualan sesuatu bangsa dapat dilihat melalui segala maklumat yang terkandung di dalamnya. Gurindam Dua Belas merupakan karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah, budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan pembaca.

No comments:

Post a Comment