Monday 25 May 2015


PENGENALAN KURSUS BMS 3022 KARYA AGUNG MELAYU

Kursus ini membincangkan karya agung yang menjadi pembentuk tradisi, tamadun dan pandangan semesta bangsa Melayu.

Sepanjang kursus ini, pelajar didedahkan tentang genre, gagasan, seni penulisan, nilai ilmu dan falsafah karya agung Melayu.

DEFINISI KARYA AGUNG

Karya ulung merupakan karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, nilai budaya, ilmu, falsafah dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya.

Karya agung dalam konteks dunia Melayu didefinisikan sebagai karya yang nilainya tahan zaman, iaitu karya yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu.

Menurut Mohd Rashid Idris et.al (2014), karya agung ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa.

Justeru, dapat disimpulkan bahawa karya agung ialah karya yang dianggap oleh pelbagai institusi dan badan berautoriti sebagai karya yang mencerminkan keagungan dan keistimewaan sesuatu bangsa melalui amalan cara hidup, adat istiadat, falsafah, nilai ilmu dan sebagainya.